Facebook: Laporan Kewangan Suku Ke-2

Minggu terakhir bulan Julai terus menjadi minggu yang menarik buat pelabur saham di Amerika Syarikat (AS). Syarikat gergasi teknologi (The big five) Alphabet, Amazon, Apple, Facebook dan Microsoft akan menerbitkan laporan kewangan suku ke-2 mereka pada minggu ini. Berikut adalah statistik yang menarik mengenai ‘Big Five’ ini: 1. 5 syarikat ini menguasai sejumlah 1/5 daripada modal pasaran indeks S&P 500 dengan bahagian sebanyak 22%.  2. 5 syarikat ini menyumbangkan hampir 10% daripada jumlah jualan syarikat S&P500 dan hampir 18% daripada jumlah keuntungan. Syarikat gergasi Facebook (FB) dijangka akan mengumumkan laporan kewangan mereka pada 28 Julai 2021 selepas pasaran ditutup

Meskipun pandemik Covid-19 hampir pasti akan menjadi endemik, di mana ia akan kekal di dalam masyarakat di dalam satu tempoh dan  menjejaskan aktiviti-aktiviti ekonomi sejak tahun 2020 dan memberi kesan kepada jutaan syarikat di seluruh dunia. Syarikat gergasi Facebook menunjukkan prestasi yang sebaliknya, mereka dilihat langsung tidak terkesan dengan pandemik ini dan terus mencatatkan harga saham tertinggi dan laporan kewangan yang amat mengejutkan.  Facebook menjadi syarikat yang paling mendapat manfaat daripada perintah kawalan pergerakan di mana penggunaan Internet mencecah rekod tertinggi. Penggunaan produk Facebook termasuk laman sosial Facebook, Facebook Messenger, Whatsapp dan Instagram terus kukuh dan dijangka menjadi penyumbang terbesar dalam peningkatan pendapatan Facebook. Pengguna harian dan bulanan produk syarikat dilaporkan meningkat 8% dan 10% (y/y) pada suku tahun pertama 2021.

Meskipun dalam keadaan di mana perbelanjaan pengiklanan atas talian yang semakin meningkat dan transisi penggunaan kepada digital yang lebih pantas, Facebook mengalami  cabaran yang agak besar selepas Apple dan Google melakukan perubahan dalam sistem operasi dan platform carian mereka di mana ia menghadkan Facebook dalam mengesan trend aktiviti pengguna. Walaubagaimanapun, Penganalisis Wall Street Brent Thill dalam komentarnya di CNBC dipetik berkata bahawa para penganalisis pasaran agak konservatif dalam unjuran suku ke-2. Beliau berkata isu privasi iOS14 dijangka tidak akan mengganggu ataupun melemahkan pendapatan pengiklanan Facebook dan peningkatan permintaan pengiklanan selepas kebanyakan aktiviti perniagaan kembali beroperasi dalam skala lebih besar di benua Amerika dan Eropah.

(Sumber gambar CNN Money)

Facebook telah secara konsisten melaporkan laporan kewangan yang melangkaui jangkaan pasaran sejak dari 4 laporan suku tahun yang lepas di mana pendapatan (revenue) dan pendapatan sesaham (EPS) dilaporkan lebih dari unjuran pasaran. Dalam suku pertama tahun 2021, Facebook mencatatkan kenaikan pendapatan lebih 48% (y/y) pada $26.2 bilion yang disumbangkan oleh peningkatan 12% dalam penambahan pengiklanan di platform produk mereka. Manakala EPS pula naik 93% kepada $3.30 pada suku yang sama.

Dalam sidang media pada April lepas, Facebook menjangkakan unjuran kewangan mereka untuk suku ke-2 kekal stabil atau naik sedikit dibandingkan secara relatif kepada suku pertama. Penganalisis pasaran mengunjurkan pendapatan Facebook untuk suku ke-2 pada $27.8 bilion  yang mencerminkan kenaikan 49.3% dari suku sama tahun lepas. Manakala konsesus untuk pendapatan sesaham (EPS) dijangka mencatatkan pertumbuhan 69% berbanding tahun lepas pada $3.04 sesaham yang mana ia telah diunjurkan lebih tinggi 0.3% dari 30 hari lepas. (sumber: https://money.cnn.com/quote/forecast/forecast.html?symb=FB)

Harga FACEBOOK (MT5: #Facebook) secara konsisten mencatat harga tertinggi dalam sejarah setiap bulan sejak dari Mac 2021. Ia sekali lagi didagang di paras rekod tertinggi $375.23 pada minggu ini. Ia masih lagi di dalam pergerakan bull yang kukuh. DMA-50 di $339.00 dan Paras terendah  Julai di $334.44 adalah support terhampir .  Untuk tahun 2021 sahaja, saham Facebook telah mencatatkan peningkatan harga sebanyak hampir 38%.  Penganalisis pasaran kini mengunjurkan harga median FACEBOOK pada $395.00 dengan harga terendah pada $275 dan unjuran harga tertinggi pada $480 dan kesemua penganalisis meletakkan saham Facebook dalam kategori BUY.

Meskipun begitu, harus diingatkan bahawa saham Facebook mengalami kejatuhan selepas keputusan kewangan dilaporkan pada April lepas berikutan aktiviti pengambilan untung dan tidak mustahil ia akan berulang pada laporan suku ke-2.

 

Belajar Berdagang Secara Percuma Setiap Isnin dan Selasa

Klik Di Sini Untuk Sertai

Tunku Ishak Al-Irsyad

Market Analyst

HF Educational Office – Malaysia

Penafian: Bahan yang digunakan dalam pembentangan ini adalah untuk kegunaan pemasaran umum sahaja. Ia tidak melibatkan sebarang kajian perlaburan. Ianya tidak boleh dianggap sebagai nasihat perlaburan, cadangan perlaburan atau nasihat jual-beli sesuatu instrument kewangan. Sila ambil maklum bahawa informasi mengenai data yang lalu tidak boleh  dianggap jaminan untuk data akan datang. Anda juga mengakui bahawa sebarang perlaburan dalam produk berleverage mempunyai risiko yang tinggi terhadap modal anda. Sila pastikan anda memahami sepenuhnya risiko yang terlibat dan Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian atau keuntungan daripada perlaburan yang diambil berasaskan informasi dalam pembentangan ini. Informasi yang terkandung dalam pembentangan ini tidak dibenarkan diterbitkan atau disebarkan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak kami.