Analisis Laporan Kewangan Suku Ke-3 Duke Energy

Duke Energy Corp. adalah syarikat yang terlibat dalam pembekalan tenaga melalui gas asli dan industri tenaga berkaitan. Syarikat ini ditubuhkan lebih dari 100 tahun lepas pada 1904 di mana ia terlibat dalam perniagaan utiliti elektrik dan infrastruktur, utiliti gas dan infrastruktur dan juga dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui. Sehingga kini, Duke Energy memiliki modal pasaran berjumlah $78.7 bilion dan diniagakan di Bursa Saham New York.

Duke Energy dijangka akan mengumumkan laporan kewangan suku ke-3 pada 4 November sebelum pasaran dibuka.

Penganalisis pasaran Zacks (sumber: Zacks.com) kini menjangka Duke Energy akan mengumumkan pendapatan untuk suku ke-3 2021 pada $7.02 bilion, pertumbuhan sebanyak 4.4% berbanding suku sama tahun lepas dengan kadar pulangan sesaham (EPS) $1.81, sedikit penurunan berbanding suku sama tahun lepas pada $1.87. Jika dilihat daripada prestasi laporan kewangan Duke Energy sejak 4 suku yang lepas, ianya secara konsisten melaporkan kadar pendapatan yang rendah dari unjuran tetapi pada masa sama melaporkan EPS yang melebihi unjuran pasaran. Namun pasaran melihat kemungkinan Duke Energy akan melaporkan pendapatan dan EPS yang lebih baik sekiranya mengambil kira faktor pembukaan semula aktiviti ekonomi yang dijangka membantu menambahkan pendapatan Duke Energy. Faktor cuaca dijangka akan memberi sedikit risiko terhadap kemungkinan unjuran tersasar berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada musim panas di kawasan ogoperasi Duke Energy.

Duke Energy merupakan antara saham dalam sektor utiliti yang bernilai dan menarik buat pelabur, pesaing utamanya adalah NextEra Energy, National Grid, Dominion Energy Inc, dan Xcel Energy Inc. Meskipun keadaan ekonomi US sudah hampir pulih dan bursa Dow Jones dan S&P500 mencatatkan pemulihan dan kenaikan pantas. Saham-saham dalam kategori Utiliti dilihat gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kenaikan saham bagi sektor ini hanya sekitar 10.6% sahaja berbanding dengan Rusell 1000 yang meningkat sekitar 42.6% sejak 12 bulan yang lalu (Sumber : Investopedia).  Jika dibandingkan dengan lebih teliti antara saham Duke Energy dan S&P500, Duke Energy hanya mencatatkan kenaikan sekitar 7.11% berbanding kenaikan tinggi hampir 37% bagi S&P500 (Sumber: fool.com). Meskipun kenaikan saham yang rendah, Duke Energy dilihat antara saham yang menarik berikutan tawaran dividen yang tinggi di mana pada 29 Oktober lepas, Duke Energy mengumumkan mereka akan membayar dividen sebanyak $0.98 kepada pemegang saham pada Disember ini. 

Sumber Gambar: CNN Business

Analisis Teknikal

Saham Duke Energy ( MT5 = #DukeEnergy) kini didagangkan pada 102.28 sebelum dagangan dibuka pada 3 November 2011. Pergerakan harga harian kini berada tepat di atas MA-20 dan MA-50 harian. Kenaikan tertinggi pernah dicatatkan pada 2021 adalah pada 108.31 pada Ogos lepas sebelum susut ke 96.55 dan naik semula. Ia mencatatkan dagangan dalam keadaan mendatar sejak April lepas di dalam julat ini. Ini disokong oleh pergerakan RSI-14 yang di paras neutral di 53 dan MACD signal line yang sedikit di atas 0 manakala histogram MACD turut di atas 0. Penganalisis yang dibanci oleh CNN Business mengunjurkan saham Duke Energy di dalam julat 96 – 118 untuk 12 bulan mendatang dengan median di 107. Manakala 12 dari 17 penganalisis yang dibanci meletakkan saham Duke Energy dalam kategori Hold, 1 Outperform dan 4 dalam kategori Buy.

Belajar Berdagang Secara Percuma Setiap Isnin dan Selasa

Klik Di Sini Untuk Sertai

Tunku Ishak Al-Irsyad

Market Analyst

Penafian: Bahan yang digunakan dalam pembentangan ini adalah untuk kegunaan pemasaran umum sahaja. Ia tidak melibatkan sebarang kajian perlaburan. Ianya tidak boleh dianggap sebagai nasihat perlaburan, cadangan perlaburan atau nasihat jual-beli sesuatu instrument kewangan. Sila ambil maklum bahawa informasi mengenai data yang lalu tidak boleh  dianggap jaminan untuk data akan datang. Anda juga mengakui bahawa sebarang perlaburan dalam produk berleverage mempunyai risiko yang tinggi terhadap modal anda. Sila pastikan anda memahami sepenuhnya risiko yang terlibat dan Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian atau keuntungan daripada perlaburan yang diambil berasaskan informasi dalam pembentangan ini. Informasi yang terkandung dalam pembentangan ini tidak dibenarkan diterbitkan atau disebarkan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak kami.